Kami menang lagi

Written by PIBG MCKK

August 1, 2016

Kuala Lumpur: Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mencipta hatrik apabila muncul juara bahas kategori Bahasa Inggeris selain seorang pelajarnya mengekalkan kedudukan pembahas terbaik kategori sama dalam pertandingan akhir bahas Piala Perdana Menteri Ke-43 di sini, semalam.

Dalam pertandingan itu, MCKK yang mewakili pasukan pembangkang menewaskan Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASIS) menerusi tajuk perbahasan ‘This House Believes That In The Name Of Humanity All Countries Should Take in Refugees That Suffer From Humanitarian Crisis’.

Pembahas terbaik bahasa Inggeris tiga kali berturut-turut, Amir Aniq Abdul Hazis, 17, berkata, kejayaan yang dirangkul MCKK bukan semudah disangka dan tidak diraih dalam masa singkat.

“Kami menjalani latihan sejak masing-masing berada di tingkatan dua. Untuk menjadi pembahas yang baik, kunci utama perlu rajin membaca untuk mengetahui mengenai isu semasa. Pihak lawan kami memang hebat dan memberikan satu perlawanan yang sangat sengit,” katanya.

Amir Aniq berharap pembahas muda di MCKK dapat membuat yang terbaik untuk mengekalkan kejuaraan seterusnya mengharumkan nama sekolah.

Pada majlis itu, hadiah disampaikan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Prof Tan Sri Dr Abdul Latiff Abu Bakar.

Juara membawa pulang wang tunai RM4,000, sijil penyertaan dan piala pusingan manakala naib juara menerima RM3,000, sijil dan piala pusingan.

Sementara itu, Sekolah Menengah Sains Banting (BASIS) dipilih menjuarai bahas kategori bahasa Melayu menundukkan Kolej Tunku Kurshiah (TKC).

Selain kali pertama dinobatkan sebagai juara, BASIS juga menerima kemenangan berganda apabila pembahasnya, Zulaika Zamaluddin, 17, dipilih sebagai pembahas terbaik kategori itu.

Ketika ditemui media, Zulaika yang juga ketua pasukan bersyukur usaha mereka selama ini membuahkan kejayaan.

“Saya percaya pada kata-kata bahawa dalam dunia ini tiada apa yang tidak boleh dibahaskan melainkan hukum Tuhan. Kedua-dua pasukan mempunyai kehebatan masing-masing dan kali ini ia menjadi rezeki kami.

“Sebagai sekolah yang masih muda, baru berusia lima tahun, ia satu kejayaan yang kami cipta bukan untuk kami tapi untuk generasi akan datang,” katanya.

Pertandingan itu dianjurkan Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan Kementerian Pendidikan.

Sumber: Harian Metro

You May Also Like…

0 Comments