Dari Pemangku Yang Di-Pertua 2020/21

Written by Author PIBG MCKK

March 14, 2020

Assalamualaikum wbt kepada semua ibu bapa dan guru-guru MCKK yang dihormati.

1.           Mukadimmah

Sebilangan antara kita yang hadir di mesyuarat agong pada hari Jumaat 13 Mac 2020 tentunya maklum tentang perletakan jawatan Y Bhg Prof. Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah sebagai Yang Di-Pertua PIBG dan menyerah tugas kepada saya sebagai Pemangku Yang Di-Pertua sehingga mesyuarat agong tahun 2021.

Di kesempatan ini, saya bagi pihak seluruh warga PIBG merakamkan terima kasih dan rasa terhutang budi kepada Prof Jafri atas kerja sukarela beliau di PIBG MCKK selama lebih lima tahun. Semoga amalan yang ikhlas beliau diberi ganjaran Allah swt.

2.             Memikul tanggungjawab ini, hajat saya adalah untuk JK PIBG dapat memenuhi tanggungjawabnya dengan lebih baik dan memberi ruang untuk semua rakan berkepentingan berkongsi maklum balas dan cadangan bagi JK PIBG membantu Kolej, sesuai dengan tujuan PIBG.

Perlembagaan PIBG menyebut tujuan PIBG sebagai:-

untuk mengadakan sesuatu forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan murid-murid dalam Sekolah dalam meningkatkan imej Sekolah;

untuk membantu dan menambah usaha Sekolah dalam memenuhi kehendak dan keperluan kebendaan murid-murid dalam kegiatan mereka;

untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam Sekolah bertukar-tukar fikiran dan maklumat mengenai pendidikan;

untuk memberi peluang kepada ibu bapa dan guru dalam sekolah berunding antara satu sama lain dengan cara memperbaiki taraf pendidikan anak-anak mereka pada amnya; dan

untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam Sekolah untuk berusaha menambah kewangan Sekolah dan meningkatkan kemudahan fizikal bagi tujuan meningkatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran

Sebaik mungkin, marilah kita cuba bertindak berpandukan kepada tujuan yang dimaktubkan ini.

3.             Kedudukan semasa MCKK.
Dengan kedatangan Pengetua Cemerlang Encik Mohd Shahadan bin Abd Rahman, MCKK mendapat seorang pengetua baharu, adalah diharap perletakan jawatan Prof Jafri  tidak menggugat tahap sokongan PIBG kepada MCKK. Terdahulu daripada mesyuarat agong, JK PIBG mengambil maklum tindakan-tindakan yang akan diambil oleh HM Shahadan untuk menambah baik prestasi akademik MCKK. JK PIBG menyokong sepenuhnya agenda ini.

4.           Tindakan lanjut.
Sebagai Pemangku Yang Di-Pertua, saya seterusnya akan mengambil tindakan sesuai dengan Fasal 16 Perlembagaan untuk mengisi ruang yang ditinggalkan oleh Prof Jafri dan melantik AJK PIBG gantian dari khalayak ibubapa Tingkatan 1. Format yang diperkenalkan oleh Prof Jafri untuk mendapatkan AJK mengikut tingkatan amatlah sesuai dengan tujuan PIBG yang disebut di atas.

5.            Antara perbincangan di mesyuarat agong.
5.1 Komunikasi antara kolej dan ibubapa melalui telegrapm/ whatsapp berkumpulan. JK PIBG akan mengukuhkan penyampaian maklumat kolej kepada ibubapa dan menugaskan wakil ibubapa Tingkatan yang berkaitan bagi menyampaikan kepada ibubapa. Saya harap wakil-wakil tingkatan akan lebih lincah untuk menyuarakan dan mendapat maklum balas daripada pentadbiran MCKK berkenaan isu-isu yang ditimbulkan oleh rakan-rakan berkepentingan kita.

5.2 Covid19. Ibubapa perlulah memantau anak masing2 agar tidak terdedah kepada Covid19, dan sekiranya terdedah dan mempunyai simptom yang berkenaan, untuk mengambil tindakan lanjut. Kita khuatir sekiranya jangkitan akan tiba ke MCKK.

5.3 HM Shahadan menekankan sokongan penggunaan iPad di kolej dan berharap lebih ramai pelajar dapat dibekalkan dengan iPad oleh ibubapa. Selepas cuti (14-22 Mac) ini, iPad akan disimpan di dalam bilik khas di pejabat dan pelajar akan membayar sewaan port charging iPad pada kadar RM20/setahun.

5.4 Suatu polisi JK PIBG juga telah diputuskan bahawa mana-mana program yang disyorkan oleh ibubapa dan disokong oleh Kolej sebagai sesuai (untuk tahun peperiksaan awam, Tingkatam 3 dan 5) boleh mendapat sedikit biayaan sejumlah RM5,000 setiap tingkatan daripada PIBG.

5.5 Memandangkan tidak ramai dapat hadir pada hari bekerja, HM Shahadan bersetuju menganjur sesi Townhall di hari Sabtu yang akan ditetapkan, terutama untuk ibubapa Tingkatan 3 dan 5 khususnya, dan tidak dilupa ibubapa tingkatan yang lain, untuk berkongsi agenda akademik 2020.

5.6 PIBG akan bekerjasama dengan rakan berkepentingan MCKK yang lain untuk mengumpul dana membeli sebuah bas sekolah baharu untuk MCKK bagi menggantikan bas sekolah yang sudah uzur.

5.7 Urus tadbir PIBG juga akan diperkuatkan dan ahli JK PIBG akan dipantau untuk memastikan maklumat kepada mesyuarat akan lebih mantap.

5.8 JK PIBG akan terus berbincang dengan pentadbiran MCKK untuk pelaksanaan program Anugerah Remaja Perdana.

6.           Penutup
Bagi pihak ibu bapa saya merakamkan terima kasih kepada Pengetua ke 23 MCKK, Tuan Anand bin Baharuddin di atas khidmat beliau di MCKK selama 10 tahun sehingga tahun ini, dan pencapaian baik SPM 2019. Ucapan terima kasih ini juga ditujukan kepada semua warga MCKK yang telah bertungkus lumus membentuk anak-anak kita. Saya juga percaya HM Shahadan akan dapat menyambung usaha pengetua-pengetua MCKK sebelum ini.

Sekali lagi ucapan terima kasih kepada Prof Jafri.

Biarlah kebijaksanaan memimpin.

Salam Hormat
Hamdi bin Abdullah
Pemangku Yang Di-Pertua PIBG MCKK 

You May Also Like…

0 Comments